Clippings

Polis perlu atasi strategi licik kongsi gelap moden

1

KUALA LUMPUR: Kumpulan kongsi gelap di Malaysia kini tidak lagi beroperasi secara tradisional, sebaliknya berevolusi menjadi rangkaian jenayah moden yang lebih licik, tersusun dan gunakan teknologi, sekali gus menyukarkan usaha penguatkuasaan.

Pakar kriminologi Pusat Penyelidikan Dasar (CPR) Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr P Sundramoorthy, berkata perubahan itu menyaksikan kumpulan kongsi gelap tidak lagi menonjolkan kehadiran secara terbuka, sebaliknya menyusup ke dalam perniagaan sah dan ruang digital menggunakan komunikasi terenkripsi, saluran kewangan kompleks serta rangkaian rentas sempadan.

“Kumpulan kongsi gelap hari ini bergerak lebih senyap dan canggih, menggunakan platform digital dan jaringan antarabangsa dari penyeludupan dadah hingga jenayah siber.

“Perubahan ini menjadikan mereka lebih sukar dikesan dan dibanteras menggunakan kaedah penguatkuasaan konvensional,” katanya kepada BH, semalam.

Sundramoorthy berkata, fenomena sama turut berlaku di Amerika Syarikat, Itali dan Belanda dengan Mafia Itali kekal berpengaruh melalui perniagaan sah dan saluran politik, manakala rangkaian jenayah siber di Eropah Timur mengembangkan operasi dengan menggunakan kerahsiaan internet.

Mengulas lanjut, beliau berkata penyertaan golongan muda ke dalam kumpulan kongsi gelap didorong oleh jurang sosioekonomi yang melebar serta tekanan hidup melampau, ditambah dengan kegagalan sistem pendidikan dan keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Di kawasan bandar dihimpit kemiskinan dan mobiliti sosial terhad, kongsi gelap menawarkan jalan pintas kepada status, perlindungan dan peluang ekonomi yang gagal disediakan sistem rasmi negara,” katanya.

Beliau berkata, corak merekrut serupa berlaku di United Kingdom dan Amerika Latin, manakala negara Scandinavia berjaya mengekang perekrutan melalui intervensi awal seperti akses pendidikan universal, sokongan kesihatan mental dan program komuniti inklusif.

Mengenai cabaran penguatkuasaan, beliau berkata, rangkaian jenayah moden yang tidak berpusat dan cepat menyesuaikan diri menyukarkan pemantauan, ditambah lagi dengan penggunaan platform komunikasi terenkripsi (encrypted).

“Ketakutan dalam kalangan saksi, ketidakpercayaan masyarakat serta isu rasuah dalaman dalam agensi penguatkuasaan memburukkan lagi keadaan, menjadikan usaha membanteras kongsi gelap semakin kompleks,” katanya.

Beliau berkata, Kanada dan Jerman menggunakan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan menerusi analitik data dan model ramalan, manakala New Zealand mengutamakan kerjasama polis-komuniti untuk memperkuatkan risikan akar umbi.

Dari aspek perundangan, Sundramoorthy berkata, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kekal penting dalam membendung kongsi gelap apabila bukti kukuh untuk pendakwaan terbuka sukar diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan undang-undang pencegahan mesti dipantau secara bebas dengan mekanisme kawal selia untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan prinsip keadilan.

“Malaysia memerlukan reformasi undang-undang yang bukan sahaja efektif melawan jenayah moden, tetapi juga menjaga keseimbangan antara keselamatan negara dan hak asasi individu.

“Contoh seperti Akta RICO di Amerika Syarikat dan mekanisme semakan kehakiman di Kesatuan Eropah boleh dijadikan rujukan dalam memastikan perlindungan hak asasi kekal terpelihara,” katanya.

Menyentuh dakwaan hubungan rahsia antara kumpulan kongsi gelap dan pihak berkuasa, termasuk anggota polis, Sundramoorthy berkata, walaupun kes seperti ini tidak menggambarkan keseluruhan institusi, ia perlu diberi perhatian serius.

“Hubungan sedemikian, jika tidak ditangani dengan tegas, boleh meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman negara seperti Mexico dan Afrika Selatan membuktikan rasuah dalam agensi penguatkuasaan membuka ruang kepada pertumbuhan kumpulan jenayah terancang.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Malaysia menubuhkan suruhanjaya integriti bebas berkuasa penuh, sebagaimana dilaksanakan di Australia, bagi memastikan ketelusan dalam agensi keselamatan negara.

Sebagai hala tuju ke hadapan, Sundramoorthy berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melaksanakan reformasi dalaman menyeluruh, termasuk audit integriti berkala, peningkatan kapasiti risikan serta kerjasama antarabangsa.

Beliau berkata, usaha pencegahan perlu dilengkapi dengan pendekatan holistik merangkumi pendidikan, kebajikan sosial dan pembangunan belia, bagi menyediakan alternatif kepada golongan muda berisiko.

“Malah, Malaysia boleh mengambil contoh pendekatan Iceland yang menumpukan kepada penglibatan belia dalam sukan, seni dan mentor; Projek Yellow Ribbon di Singapura; serta pendekatan ‘No One Left Behind’ di Finland untuk menangani kitaran jenayah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa membanteras kumpulan kongsi gelap memerlukan strategi jangka panjang yang berlandaskan hak asasi, pencegahan awal, pemulihan serta pembinaan semula kepercayaan terhadap institusi terutama penguat kuasa undang-undang.


Berita ini dipetik dari Berita Harian.