‘Negara terlebih tadbir’: Banyak jabatan, banyaklah rasuah – pakar
Kes seorang pegawai rendah imigresen di Johor–yang ditahan dua kali dalam masa lima bulan kerana didakwa terlibat dalam rasuah–membongkar kelemahan sistem pentadbiran kerajaan, kata pakar.
Pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) P Sundramoorthy berkata, kes sebegitu mencerminkan masalah lebih mendalam dalam struktur pentadbiran dan pengawasan institusi kerajaan.
“Apabila seorang pegawai kerajaan yang pernah ditahan atas kesalahan rasuah boleh kembali ke jawatan sama dan mengulangi kesalahan itu, ia menunjukkan berlakunya kegagalan serius dalam kawalan pentadbiran
“Fenomena ini menggambarkan apa yang disebut sebagai penyimpangan organisasi (organizational deviance), keadaan tadbir urus lemah dan pengawasan longgar menyebabkan salah laku menjadi norma dalam sesebuah institusi.
“Ini bukan sekadar kes individu. Ia mencerminkan kelemahan sistemik, yang langkah keselamatan seperti saringan integriti, pertukaran staf dan semakan disiplin sama ada tidak dikuatkuasakan dengan berkesan atau diabaikan,” katanya kepada Malaysiakini.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan terdapat kes pegawai itu–dirujuk sebagai A–sebagai kes contoh bagaimana tangkapan SPRM tidak semestinya berakhir di mahkamah.
A yang ditahan April lalu didakwa terlibat dalam kegiatan counter settings atau manipulasi sistem di pintu sempadan bagi membolehkan kemasukan warga asing secara tidak sah ke Malaysia.
Bagaimanapun dia didakwa didakwa ditempatkan semula di terminal sama dan kembali terlibat dalam kartel tempat.
Pada 24 September, SPRM Johor sekali lagi didakwa menahan A bersama sekumpulan individu lain termasuk enam pegawai imigresen dalam operasi serentak di tiga lokasi terminal feri Pasir Gudang, Muar dan Melaka.
Malaysiakini tidak mendedahkan identiti suspek sehinggalah dia dituduh di mahkamah.
Mengulas kes itu, Sundramoorthy berkata kes A bukan sekadar isu salah laku seorang pegawai, tetapi refleksi terhadap keretakan etika institusi dan kelemahan pengawasan pentadbiran.
“Ini adalah cermin kepada keadaan sebenar dalam agensi penguatkuasaan kita.
“Jika masalah ini tidak ditangani melalui pembaharuan menyeluruh, ia bukan sahaja meruntuhkan integriti institusi tetapi juga kepercayaan awam terhadap sistem keadilan dan penguatkuasaan undang-undang negara,” katanya.
Rasuah disalurkan ke atas
Sementara itu, pakar politik James Chin dari Universiti Tasmania, Australia turut berpandangan bahawa kes itu mencerminkan kegagalan sistemik dalam struktur pentadbiran dan penguatkuasaan Malaysia.
“Isu ini bukan sekadar tentang seorang pegawai. Ia tentang bagaimana sistem kita dibina sistem yang terlalu banyak kelulusan, perlindungan politik, dan budaya takut untuk bertindak.
“Selagi birokrasi tidak dikurangkan dan politik tidak dipisahkan daripada pentadbiran, rasuah akan terus berakar.
“Semua orang tahu sistem ini membenarkan korupsi, tapi tiada siapa berani ubah sebab ramai yang mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Menurutnya, kes sebegitu menunjukkan kemungkinan wujudnya perlindungan politik dan kelemahan struktur birokrasi yang membolehkan penjawat awam terlibat dalam kegiatan jenayah tanpa takut terhadap undang-undang.
“Secara lazim, pegawai kerajaan yang ditahan pihak penguatkuasa akan digantung tugas serta-merta. Namun, dalam kes ini, pegawai berkenaan tidak digantung walaupun sudah dua kali ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Cara sistem perkhidmatan awam berfungsi sangat jelas. Jika seseorang pegawai ditahan, jabatan akan segera menggantung tugasnya,” katanya.
Chin berkata, dalam kes sebegitu rasuah mungkin tidak berhenti di satu tangan semata-mata.
“Kalau dia cuma pegawai barisan hadapan, sudah tentu ada bahagian daripada duit itu yang ‘disalurkan ke atas’, katanya yang mengaitkan dengan struktur pentadbiran kerajaan yang terlalu berlapis dan terlalu banyak memerlukan kelulusan.
Dia justeru menyifatkan malaysia sebagai negara over-administered (terlebih tadbir).
“Hampir setiap perkara perlukan lesen atau kebenaran rasmi. Lebih ramai orang terlibat dalam proses kelulusan, lebih banyak peluang untuk rasuah. Ini terbukti dalam banyak kajian di seluruh dunia,” katanya.
Menurutnya, kewujudan kartel dalam pelbagai sektor termasuk dalam penguatkuasaan sempadan bukan kebetulan, tetapi hasil daripada sistem yang membenarkan rasuah berlaku secara tersusun.
“Kartel di Malaysia tidaklah canggih seperti di negara lain. Ia berpunca daripada sistem kelulusan. Anda bayar penjawat awam untuk mendapatkan kebenaran.
“Kalau kelulusan seperti itu tidak lagi diperlukan, ruang untuk rasuah pun hilang,” katanya.
Berkaitan kesalahan melibat imigresen dia juga melihatnya sebagai satu bentuk pemerdagangan manusia, yang “lebih menguntungkan daripada perdagangan dadah”.
“Dadah hanya boleh dijual sekali, manakala mangsa pemerdagangan manusia boleh diperas berulang-ulang kali,” katanya.
Budaya sindiket dan jenayah korporat-negara
Sementara itu, Sundramoorthy berkata kewujudan sindiket sebegini menunjukkan wujudnya “budaya sindiket” dalam agensi penguatkuasaan.
Rasuah, katanya, bukan lagi diuruskan seorang pegawai tetapi beroperasi secara rangkaian melibatkan pegawai kerajaan, pengusaha swasta dan orang dalam.
“Apabila pegawai awam bekerjasama dengan pihak luar untuk memanipulasi sistem, ia berubah menjadi bentuk jenayah yang lebih kompleks, jenayah korporat-negara, yang kuasa awam dieksploitasi untuk kepentingan peribadi.
“Keadaan ini sama dengan teori kriminologi differential association, bagaimana individu meniru tingkah laku menyimpang apabila berada dalam persekitaran yang menerima rasuah sebagai sesuatu yang normal,” katanya.
Walaupun mengiktiraf kejayaan SPRM membongkar kegiatan rasuah melibatkan pegawai imigresen, Sundramoorthy menyifatkan ia sebagai kejayaan reaktif.
“Hakikat bahawa pesalah berulang boleh terus beroperasi di tempat sama menunjukkan sistem pengawasan dan kawalan pencegahan kita lemah.
“Ia tanda defisit kawalan–sistem pemantauan gagal menandingi kecekapan jaringan rasuah,” katanya.
Tambahnya, hukuman semata-mata tidak cukup untuk menangani masalah yang bersifat struktur.
“Rasuah berulang menunjukkan pencegahan tidak bergantung kepada keterukan hukuman, tetapi kepada kepastian bahawa salah laku akan dikesan dan diambil tindakan segera,” katanya.
Sundramoorthy mencadangkan beberapa langkah pembaharuan termasuk semakan bebas terhadap penempatan semula pegawai selepas disiasat, penguatkuasaan tempoh larangan bertugas bagi pegawai dalam siasatan, perkongsian maklumat antara agensi, serta penggunaan sistem pemantauan digital yang mengurangkan campur tangan manusia di pintu sempadan.
“Selagi agensi hanya menumpukan kepada tindakan simbolik seperti tangkapan tanpa reformasi sistemik, kitaran rasuah, tangkapan dan pengulangan akan terus berlaku,” katanya.
‘Dua fungsi’ SPRM?
Mengulas mengenai peranan SPRM, Chin mendakwa suruhanjaya itu kini dilihat menjalankan dua fungsi yang bercanggah–satu sebagai agensi antirasuah, dan satu lagi sebagai “alat politik”.
“SPRM di Malaysia ada dua tujuan. Pertama untuk membanteras rasuah dalam perkhidmatan awam dan sektor tertentu, tapi pada masa sama ia juga digunakan sebagai senjata politik.
“Kerana politisasi ini, rasuah juga mula meresap ke dalam SPRM sendiri menyebabkan mereka dilihat selektif dalam mengambil tindakan,” katanya.
Chin menjelaskan bahawa politik Malaysia yang berasaskan kewangan turut menjadi punca utama mengapa sistem ini tidak pernah berubah.
“Sistem politik kita bergantung kepada duit. Ini memberi isyarat bahawa mencari ‘pendapatan sampingan’ boleh diterima padahal ia rasuah.
“Selagi sistem politik memerlukan dana untuk kekal berkuasa, birokrasi berlapis ini tidak akan dibuang kerana di situlah sumber kewangan tidak rasmi datang,” katanya.
This article first appeared on Malaysiakini.
Past Events
- MCPF Penang Website www.mcpfpg.org Visitors’ Log hits a Monthly Record high of 23.24k in November 2025. Cum-to-date total: 977,865 (March 2016 to November 2025)
- MCPF SPS DLC participates in Camp for Uniformed Bodies at SJK (T) Nibong Tebal
- MCPF Penang engages in Operational Meeting at SMK Mengkuang, Bukit Mertajam to follow-up on CCTV Project Proposal
- Malaysia’s strategy against drug cartels must balance secrecy, transparency and political neutrality
- MCPF Penang Quartermaster Munusamy Muniandy does an on-site Housekeeping / Maintenance inspection of MCPF Penang Office at PDRM IPK P. Pinang






